Kehadiran bulan Ramadan sangat dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh dunia. Para Muslimin dan Muslimat disarankan untuk mengisi masa di bulan yang mulia ini dengan amalan-amalan yang dapat meningkatkan ketakwaan di sisi Allah SWT.
Sebagai ibu bapa Muslim yang bertanggungjawab, amanah untuk mendidik anak dalam pendidikan iman, akhlak dan adab sangat dititik beratkan, lebih-lebih lagi di dalam bulan Ramadan kerana adanya tuntutan berpuasa.
Jadi, sebagai ibu bapa, apakah yang anda boleh lakukan untuk meningkatkan motivasi anak anda untuk berpuasa? Di sini, kami memberi anda lima tip untuk melatih anak anda berpuasa di bulan Ramadan. Insya-Allah, usaha ikhlas untuk mendidik anak anda menjadi Muslimin dan Muslimat yang soleh dan solehah akan diberi ganjaran oleh Allah SWT.
1. Ajak anak untuk bersahur bersama-sama keluarga
Kejutkan anak untuk bangun pagi sebelum azan Subuh untuk bersahur bersama-sama keluarga. Anda boleh menggalakkan anak anda untuk melambat-lambatkan sahur kerana ia lebih afdal. Sahur sangat penting untuk membekalkan tenaga yang diperlukan sepanjang hari semasa berpuasa. Pastikan anak anda mengambil karbohidrat kompleks seperti nasi putih, nasi perang, kentang dan roti. Tidak lupa juga makanan berprotein seperti ikan dan ayam yang mengenyangkan. Elakkan anak anda dari meminum minuman berkafein dan sejuk semasa sahur.
2. Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit
Berikan jangkaan yang realistik untuk anak anda berpuasa. Mulakan rutin puasa anak dari Subuh ke Zuhur untuk beberapa hari Ramadan yang pertama. Selepas anak anda lebih yakin dan berkemampuan, tingkatkan jangka waktu berpuasanya sehingga ke Asar. Jika anak anda berjaya berpuasa sehingga waktu Asar, tingkatkan semangat anak selepas itu untuk bertahan sedikit masa lagi untuk berpuasa penuh sehinggalah kedengaran azan Maghrib.
3. Kata-kata semangat
Kanak-kanak akan lebih bermotivasi untuk mencapai sesuatu objektif jika diiringi dengan kata-kata semangat dari ibu bapa. Begitu juga dengan berpuasa. Sentiasa memberitahu anak anda yang anda bangga melihatnya berpuasa. Terangkan ganjaran berpuasa dan pahala bagi orang-orang yang beriman.
4. Berikan ganjaran
Pada peringkat awal anak berpuasa, tidak salah untuk memberikan ganjaran jangka pendek kepada anak jika dia berjaya menunaikan Rukun Islam yang ketiga. Contoh-contoh ganjaran berpuasa yang ideal untuk anak adalah seperti menghidangkan masakan kegemarannya untuk berbuka, membelikan jubah baru untuk terawih di masjid, atau pun membawa anak ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka mengikut pilihan hatinya.
5. Tetapkan jadual waktu rutin di bulan Ramadan
Selepas anak anda pulang dari sekolah, isikan masa lapang sehingga Maghrib dengan aktiviti-aktiviti berfaedah yang boleh mengalihkan perhatian mereka dari lapar dan dahaga. Contohnya, membaca al-Quran bersama ibubapa atau guru agama, membaca kisah-kisah dari Sirah Nabi, membuat kerja sekolah atau membantu ibu di dapur.
Selamat berpuasa dari Q-dees!
Rujukan
1. Rahsia didik anak berpuasa, Utusan Online, Bicara Agama, 23/07/2013
2. eBook 20 Tip Kurus Ramadhan, Kevin Zahri
3. Ramadhan sedia limpahan keberkatan, BH Online, Rencana, 21/05/2017
Oleh Official Q-dees Worldwide.
###
Di Q-dees, kami menawarkan subjek Matematik, Sains, Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin, Gymflex, Pendidikan Seni dan Muzik. Subjek Pendidikan Islam juga ditawarkan untuk pelajar-pelajar Muslim. Sertailah prasekolah yang terbaik hari ini!
Q-dees, bersama mencapai cita-cita!
Kunjungi https://goo.gl/qZKd1e dan daftarlah anak anda hari ini!
Jangan lupa untuk mengikuti kami di Instagram: @qdees_starters
Hak Cipta Terpelihara 2017 Q-dees.